Friday 24 May 2013

ADAB BERHUTANG



Dalam Islam, hutang merupakan suatu amanah besar yang wajib dilunaskan, ia bagi memenuhi tuntutan dan menjamin hak sesama manusia. Kegagalan menyempurnakan hutang bermakna menafikan hak sesama manusia yang pastinya mengundang kemurkaan Allah SWT. Berdasarkan kepada maksud ayat 23 hingga 39 surah Al-Isra’, jika seseorang tidak membayar hutang, tiba-tiba ia meninggal dunia maka langit dan bumi tidak akan menerima rohnya walaupun roh itu milik seorang yang berjihad.
Dalam sirah Rasulullah SAW pernah Baginda duduk semasa jenazah diletakkan dihadapan Baginda untuk disembahyangkan. Baginda SAW mengangkat kepalanya ke langit, kemudian menundukkan pandangannya dan meletakkan tangannya di atas kening dan bersabda:Subhanallah… subhanallah, betapa beratnya yang diturunkan.” Seorang sahabat Ibn Jahsh berkata, Kami memperhatikan keadaan Rasulullah itu tetapi kami diam, sehinggalah keesokan harinya saya bertanya kepada Baginda, “Apakah keberatan yang diturunkan itu?” Rasulullah lalu menjawab, “Hutang! Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, jikalau seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup, kemudian terbunuh, kemudian hidup, kemudian terbunuh, sedangkan ia mempunyai hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sehingga dia menunaikan hutangnya.” (RiwayatAn-Nasai).
Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah dirimu daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas. (Riwayat al-Baihaqi)
Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Apa yang jelas, pengurusan wang secara bijak memberi kesinambungan hidup kita bagi tujuan hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah mengurus kewangan secara berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita terhadap sumber kewangan yang sedia ada selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran. Mimbar ingin menegaskan bahawa agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:
Pertama al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak,
Kedua: al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati,
Ketiga: al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik dan
Keempatal-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap.
Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat seperti makanan dan minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran.
Menurut Iman as-Syatibi bahawa: “Al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar.”
Dalam hal ini juga Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa: “Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun.”
Sikap suka berhutang memberi petunjuk bahawa masih ada segelintir yang gagal mengawal keinginan nafsu dalam urusan kewangan. Allah SWT pernah mengingatkan kita tentang kitaran hidup, ada masa kita senang dan ada masanya kita susah. Apabila kita dalam keadaan senang, kita diminta berjimat cermat dan mengingati keadaan golongan yang kurang dari kita. Sebagai umat Islam kita dituntut agar mesyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.
Sedarkah kita, kemewahan yang kita kecapi ini adalah juga menjadi hak orang lain dan negara. Sekiranya kita membayar hutang sebagainya, sudah pasti hasil pungutan itu dapat digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan rumah golongan fakir dan miskin, pembiayaan jentera pentadbiran negara, menyedia dan melengkapkan infrastruktur kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya. Memulih sesuatu situasi selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, dan tanah runtuh dan juga sebagai keperluan Jihad Fi Sabilillah.
Menurut Imam Muslim Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: Sesiapa yang mempunyai lebihan kenderaan, maka hendaklah ia memberi kepada orang yang tiada kenderaan.  Sesiapa yang mempunyai lebihan dari bekalan makanan, maka hendaklah ia memberi kepada orang yang tiada bekalan.

sebagai manusia yang beriman dan berintegriti marilah sama-sama kita mengamalkan sikap berjimat cermat serta menjauhi sifat suka berhutang  agar mendapat keberkatan dari Allah SWT. Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan menjadikan kehidupan masa hadapan lebih terjamin. Kita juga akan terselamat dari muflis akibah hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita disaat menghadapi kesusahan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Furqaan ayat 67:
 25:67
Maksudnya: Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana .

sama-samalah kita bermuhasabah diri . 
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه


..Assabru yuinu alaa kulli amalin..

0 comments:

Post a Comment

 
copyright@segala yang tercatat di atas semuanya Hak milik Cik wAniE