assalamualaikum w.b.t
siapa yang pernah merasakan putus dalam percintaan tahulah betapa peritnya.
Benarlah kata pujangga,"sakit yang paling dahsyat ialah
mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas."
Aneh sekali derita sakit putus cinta ini... benci, tapi rindu.
Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah
paling kita cintai. Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta.
Terlupakah pesan bijak pandai:
"Cintailah sesuatu itu sekadar saja,
berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang
engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada
satu ketika."
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang.
Malah ada yang sanggup bunuh diri.
Benarlah kata orang: "Dunia akan terkejut mendengar
seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut
apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya."
Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku).
Buruk sekali keadaan orang yang 'frust' dalam
bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani 'memperkosa'
kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.
Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan
dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi.
Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang
lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali
cinta yang diasaskan oleh cinta Allah.
Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini
memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang
oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan.
Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang
dimetrai sewaktu sedang 'syok' bercinta. Hingga dengan itu mereka yang
dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia
benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan
positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi
percayalah... kita tetap ada Allah.
Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik
belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun
yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas.
Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada
kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al
Baqarah;
"Ada sesuatu perkara yang kamu cintai
tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu
benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak
mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui."
Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita.
Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat.
Segala kata pengukuhan telah diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my
prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah.
Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, "mengapa aku terpaksa menanggung derita ini."
Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter... ter...
segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan
seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, "ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?"
Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras
terendah.Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada... kita masih boleh
berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, "Tuhan ada!"
Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang
baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia
terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita
pasti datang sebagai gantinya!
Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang
malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus
cinta dengan manusia supaya 'terpaksa' bercinta dengan Allah.
Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk
menyambungkan. Putus cinta dengan manusia,
tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan,
kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian
kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali
kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu
atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah
itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, "mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia,
menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya." Cubalah
fikirkan... siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan
selama ini? Fikir...
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir... barangkali
putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, "Allah menjemput aku untuk
mencintai-Nya!"
Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita.
Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan.
Frust cinta itu hakikatnya untuk
menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih,
bukan tersisih!
Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang
bahagia bersama 'orang' yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya.
"Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu."
"Allah ganti yang lebih baik."
"Tak sangka, kami akan serasi begini."
Begitulah suara-suara 'testimonial' daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui
kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu 'terkena' dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa
marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya
bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia.
Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah
yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan
sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA,
pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta
itu bagai 'mata rantai' yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya
bersambung kepada cinta Allah.
Percayalah frust dalam
bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan.
Ingatlah bahawa alam adalah sebuah 'sekolah' yang besar. Setiap manusia adalah
para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri
pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika ditakdirkan
berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham 'pelajaran'
yang dibawa bersamanya.
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan
suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan
datang.
Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan
huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kemungkinan besar kita akan 'frust' berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu
yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih
mencabar.
Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara sebaik-baiknya
mempelajarinya?Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh
setiap remaja.Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses
transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam
dewasa sepenuhnya. (I'm not a girl but not yet a women)
Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar
menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan
tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain
elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil –
tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam
lagi.
Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan
kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang,
sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan
sikap.
Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Salah satunya frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang
dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti
dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan
yang berlaku ke atas mereka.
Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.
Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan
masalah yang sama berulang-ulangkali.
Jadi langkah pertama supaya remaja 'lulus' dalam pelajaran mereka
ialah mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada
unsur pengajaran dan didikan buat mereka.
Frust cinta hakikatnya adalah 'guru'
yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala
pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, "apakah pelajaran yang disebalik semua itu."Pandanglah
semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup
kita sentiasa bertujuan.
Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup
ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam
hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan.
Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik
melalui didikan terus dari Allah maka manusia tersebut tidak akan dapat
dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu
Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah 'guru'
yang hendak mengajar kita erti sabar.
Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita
sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya
sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang
bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari
Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik
kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik
pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita?
Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat
dielakkan justeru hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang
tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita
tidak dapat mengawal hati 'kekasih hati' agar dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah
mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta
kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai
pernah berkata, "we cannot direct the wind but we can
adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan
takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri.
Dia seolah-olah ingin jadi 'Tuhan". Dia ingin semua keinginannya tercapai.
Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya.
Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang
bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak
akan mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu
datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran
disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal
dalam 'sekolah' kehidupan mereka.
Frust cinta, hakikatnya adalah ujian
yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk.
Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu,
ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang.
Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda
hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara
berterusan... Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan
menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda
tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu
tua bagai melukis di atas air."
Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start
living, "Jangan gergaji habuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang
tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang
datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada
ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah,
semuanya terasa serba tidak kena.
Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat
kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.
Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam
hidup .ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira
kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak
boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt
datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan
dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati... ya, selepas
ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.
Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa... ya,
selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah.
Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia
ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan 'cuaca' kehidupan itu
tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang
berubah-ubah itu.
Fahamilah hakikat ini.
Apabila kita frust dalam
bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba
kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah,
kerana di situlah keindahan hidup!
Sematkan di hati kata pujangga ini: "Sesungguhnya
orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu
jua...cinta sejati yang ditunggunya!"
note : allah dah tetapkan jodoh yang terbaik untuk diri setiap umatNya .
#harap dapat seorang suami yang dapat memimpin ke SYURGA . amin :)
..Assabru yuinu alaa kulli amalin..